Allianz4good Anjur Program Amal, Sumbang Semula Kepada Masyarakat

07/06/2023 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) menerusi cabang tanggungjawab sosial korporat, Allianz4Good, menganjurkan beberapa siri program amal untuk menyumbang semula kepada masyarakat, baru-baru ini.

Allianz Malaysia dalam kenyataan memaklumkan antara inisiatif yang dilancarkan ialah penghantaran barangan runcit untuk sebulan kepada sembilan organisasi yang terdiri daripada rumah kebajikan, rumah anak yatim dan pusat Orang Kurang Upaya (OKU) di sekitar Lembah Klang dan Ipoh, Perak antara 27 Mac hingga 14 April lepas.

“Allianz4Good turut menjalin kerjasama dengan tiga persatuan sosial iaitu Persatuan Buku Jalanan Chow Kit, Pertubuhan Wanita Berdaya dan Pertubuhan Pendidikan Anak Cahaya Sabah untuk mengagihkan makanan dan barangan keperluan kepada 800 keluarga memerlukan di sekitar Lembah Klang, Sandakan (Sabah) dan Kedah.

“Sumbangan berjumlah RM10,000 daripada kakitangan Allianz Malaysia telah diserahkan kepada rumah kebajikan Raudhatul Nurr Jannah, yang menempatkan anak yatim dan kanak-kanak, untuk membeli pakaian hari raya buat 65 penghuni rumah kebajikan itu,” menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, mereka yang berusia antara lapan hingga 19 tahun telah dibawa ke Fashion Rasa Sayang untuk memilih pakaian raya pilihan mereka dengan dibantu sukarelawan Allianz Malaysia pada 2 April lepas.

Inisiatif lain yang dilancarkan termasuk bazar Ramadan di Stadium Shah Alam, Selangor dan Stadium Perak di Ipoh dengan Allianz Malaysia mengedarkan bubur lambuk percuma kepada pengunjung serta sambutan hari raya untuk IDEAS Autism Centre, yang menempatkan kanak-kanak autisme kurang bernasib baik, pada 13 Mei lepas.

Menurut kenyataan itu Allianz Malaysia memperkenalkan Allianz4All Untuk Semua (Allianz4All) pada 2022, konsep produk yang menyediakan perlindungan kewangan untuk semua rakyat Malaysia berdasarkan nilai sejagat yang sejajar dengan Prinsip Kewangan Islam.

“Apabila pemegang polisi membeli produk menerusi Allianz4All, peratusan premium akan diperuntukkan kepada Dana Peruntukan Tuntutan (CAF).

“Sekiranya lebihan diluluskan daripada (CAF), sebahagian daripada lebihan itu akan didermakan kepada kategori amal yang dipilih pemegang polisi, memastikan pelan perlindungan berkenaan memberi manfaat kepada pemegang polisi dan membantu melakukan perubahan dalam masyarakat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan