'hentian Air Balang Ramadan' Rapatkan Silaturahim Penduduk

21/03/2024 11:10 AM

IPOH, 21 Mac (Bernama) -- Program infak 'Hentian Air Balang Ramadan’ anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Klebang Putra 1 telah merapatkan silaturahim antara penduduk setempat selain dapat beramal.

Ahli Jawatankuasa KRT Muhamad Khalil Yaacob berkata persiapan bagi menjayakan program berkenaan telah berlangsung kira-kira dua minggu sebelum Ramadan dengan mengadakan kutipan wang infak menerusi hebahan di aplikasi WhatsApp dan pemakluman secara bersemuka kepada penduduk setempat.

Menurut Muhamad Khalil, melalui kutipan itu, sebanyak RM3,440 berjaya dikumpul dengan RM1,500 digunakan bagi program air balang yang diberi secara percuma kepada penduduk, RM1,500 lagi untuk program iftar dan moreh manakala bakinya bagi program bubur lambuk.

'Hentian Air Balang Ramadan’ menyediakan keseluruhan 10 balang pelbagai jenis air antaranya kopi kurma, strawberi dan jagung yang diagihkan kepada penduduk.

"Objektif penganjuran program infak ini antara lain untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk di Klebang Putra yang mempunyai kira-kira 1,500 penduduk termasuk bernaung di bawah KRT Klebang Putra 1.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang ini, kita turut meringankan beban keluarga yang susah dengan memberikan mereka air (program air balang) serta makanan secara percuma. Ini dapat membantu golongan yang memerlukan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Selain infak air balang, Muhamad Khalil berkata pihaknya juga telah mengutip RM10 daripada penduduk bagi mengadakan majlis tahlil pada 19 Mac lepas.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa KRT itu, Muhamad Nor Abdullah, 63, berkata program air balang itu berjalan lancar manakala selepas ini akan diadakan edaran bubur lambuk pada penghujung bulan ini sebelum menganjurkan iftar dan moreh.

Bagi program moreh, Muhamad Nor berkata mereka akan menyediakan bihun sup serta air teh o ais dan teh panas atau kopi manakala untuk iftar disediakan nasi beriani lauk kurma kambing dengan air sama dijadual pada 8 April.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan