Bernama Sasar Perhebat Program Csr Untuk Uar-uar Peranan, Pertingkat Imej - Pengerusi

29/03/2024 10:12 PM

PUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyasarkan untuk memperhebat program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunannya pada masa akan datang bagi menguar-uarkan peranan agensi berita itu sekali gus meningkatkan imejnya dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai berkata program itu, yang dianjurkan sempena Ramadan tahun ini, juga bertujuan menyemarakkan muhibah dan menyebarkan kegembiraan terutama buat warga Putrajaya.

“Kita selalu bercakap Ramadan adalah bulan untuk menzahirkan kerahmatan jadi untuk kita di Bernama, kita menganjurkan Program CSR Ramadan Bernama bersama rakan strategik antaranya Hong Leong Islamic Bank, FGV Holdings Bhd (FGV) dan Maju Expressway Sdn Bhd," katanya.

Bertemakan 'Indahnya Ramadan,' acara tahun ini merupakan program CSR Ramadan kedua agensi berita itu selepas penganjuran kali pertama di Bazaria Lembah Pantai tahun lepas.

Berlangsung di Dataran Putrajaya dari 6 petang hingga 7 malam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut turun padang menyampaikan 1,000 pek makanan serta beg sumbangan kepada orang ramai sebagai meraikan semangat mawaddah dan kedermawanan yang sinonim dengan bulan mulia ini.

Ketua Pegawai Komunikasi Strategik Kumpulan FGV Azmi Yaakop berkata program sebegini memberi ruang kepada syarikat itu untuk memainkan peranan mendekati komuniti.

"Ini kali pertama kami bekerjasama untuk bulan Ramadan dan kami rasa bertuah diberi peluang untuk menyumbang kepada komuniti serta mereka yang memerlukan, dan saya harap sumbangan FGV juga akan mengukuhkan silaturahim sedia ada dengan Bernama," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank Berhad Dafinah Ahmed Hilmi pula berkata selain sumbangan 1,000 pek makanan, bank itu menyediakan khidmat nasihat kewangan terutama mengenai 'Celik Muamalat' di bawah seliaannya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita itu Arul Rajoo Durar Raj.

Program hari ini turut mendapat sokongan daripada All Kurma Sdn Bhd, Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, Perbadanan Putrajaya dan Miaow Miaow Food Products Sdn Bhd.

-- BERNAMA



 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan