Polis Kesan Tiga Lelaki Edar Kad Pinjaman Wang Tanpa Lesen, Judi Di Bazar Ramadan

31/03/2024 12:18 PM

IPOH, 31 Mac (Bernama) -- Polis Perak sedang mengesan tiga lelaki disyaki menjalankan kegiatan menyebar kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di sekitar bazar Ramadan di Stadium Perak, di sini.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata kegiatan lelaki terbabit telah dirakam oleh seorang daripada peniaga di bazar berkenaan yang dimuat naik di media sosial.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati tiga lelaki terbabit telah menjalan kegiatan menyebarkan kad perniagaan wang tanpa lesen dan judi dalam talian sejak tiga hari lepas.

“Rakaman berdurasi 1.01 minit itu menunjukkan seorang lelaki menyebarkan kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di setiap gerai di bazar Ramadan di Stadium Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata satu temu bual telah diadakan dengan peniaga berkenaan dan butiran kejadian sudah diperoleh serta usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

“Tiada laporan polis diterima dari mana-mana pihak setakat ini. Tindakan masih diteruskan,” katanya.

Semalam, tular satu video di laman Facebook milik Oppa Zuzu Kitchen dipercayai seorang daripada peniaga di bazar berkenaan, memaparkan kegiatan lelaki yang menyebarkan kad pinjaman tanpa lesen dan judi dalam talian.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan