Zakat fitrah Kedah RM7, RM14 dan RM21

12/04/2021 01:59 PM

ALOR SETAR, 12 April -- Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi negeri ini iaitu RM7, RM14 dan RM21.

Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata penetapan itu dibuat berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis, pada kadar timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.6 kilogram beras.

"Kadar RM7 adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan harian daripada beras jenis super special tempatan dan setaraf dengannya, manakala RM14 adalah daripada beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya.

"Bagi kadar RM21 pula adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan harian daripada beras jenis basmati, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya," katanya semasa mengumumkan penetapan kadar zakat fitrah Kedah 2021 di sini, hari ini.

Syeikh Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agihan Zakat dan Ahli Lembaga LZNK berkata lembaga itu turut menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM11.5 juta bagi tahun ini, berbanding kutipan tahun lepas sebanyak RM10.6 juta.

Fadzil berkata sasaran itu boleh dicapai kerana orang ramai sudah kembali bekerja berbanding tahun lepas, apabila ramai yang tidak boleh keluar bekerja akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tahun lepas kita tetapkan zakat fitrah pada empat kadar iaitu RM5, RM7, RM14 dan RM21, kadar RM5 diumumkan bagi memberi ruang kepada golongan kurang berkemampuan menunaikan kewajipan itu semasa penularan pandemik COVID-19.

"Bagaimanapun, ramai memilih membayar zakat pada kadar RM7 walaupun terdapat pilihan RM5, jadi tahun ini kita tetapkan semula serendah RM7 dan kita jangkakan akan ada peningkatan kutipan tahun ini," katanya.

Sementara itu, katanya LZNK turut melancarkan program sumbangan ayam segar menerusi Program Infak Aidilfitri kepada hampir 13,000 asnaf di Kedah, sebagai persediaan menghadapi Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

“LZNK menyasarkan sumbangan sebanyak tiga ekor ayam bagi setiap keluarga asnaf dengan anggaran keseluruhan bernilai RM522,000. Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi portal Asnaf Care https://asnafcare.com.my," katanya.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan