Affin Hwang Investment Bank serah zakat RM350,000 kepada BAKAT ATM

26/04/2022 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Affin Hwang Investment Bank Bhd hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM350,000 kepada Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mona Suraya Kamaruddin berkata sumbangan itu sebagai tanda sokongan kepada BAKAT dalam usaha memperkasa ahli-ahlinya bagi merealisasikan hala tuju Aspirasi Pembangunan Ekonomi Keluarga.

“BAKAT merupakan satu daripada sasaran kami bagi inisiatif perkembangan komuniti yang sedang dilaksanakan oleh pihak bank sepanjang Ramadan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan zakat tersebut di Dewan Mulia, Kementerian Pertahanan hari ini.  

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah berkata sumbangan tersebut akan digunakan bagi membantu BAKAT untuk melaksanakan pelbagai program latihan.

Setakat ini, BAKAT telah menyediakan latihan kepada ahlinya dengan pelaksanaan Program Bina BAKAT melalui platform digital e-BAKAT yang berupaya menjana ekonomi keluarga terutamanya kelompok B40.

Majlis penyampaian sumbangan zakat itu disempurnakan oleh Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah sempena Majlis Khatam Al-Quran BAKAT ATM yang dihadiri kira-kira 100 ahli.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan